Followers

Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Thursday, February 9, 2012

KISAH DI SEBALIK: Gantung Patung Di Bumper Kereta. Cantikkan? Tapi...



Assalamualaikum wbh..

Korang mesti biasa tengok orang gantung patung kat bumper kereta diorang kan? Macam ni..

 





Nampak kiut kan? Tapi apa kisah sebenarnya?

Sebenarnya amalan menggantung patung di bawah kereta ini adalah dilakukan oleh orang Thailand. Mereka percaya dengan menggantung patung ini dapat mengelakkan daripada gangguan roh-roh orang yang telah mati terutama akibat kemalangan jalanraya. Kepercayaan ini juga dipercayai berasal dari Korea.

Orang Thailand percaya roh orang yang mati akan berkeliaran di sekitar tempat mereka mati dan menunggu untuk dilahirkan semula. Maka dengan menggantung patung ini, mereka beranggapan roh tersebut akan leka bermain dengan patung itu dan tidak mengganggu pemandu kereta tersebut. Korang leh 'google' atau baca kat sini.

Jadi, masih nak gantung patung di bumper kereta?

An-Nisa [116] : Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah Subhanahuwata’ala dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
Telah diriwayatkan dari Thauban r.a. (hamba Rasulullah s.a.w.) bahawa, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang dosa syirik, adakah ia diampun? Rasulullah s.a.w., diam seketika, kemudian bersabda, ketahuilah bahawa dosa syirik juga diampun, dan beliau mengulangi sabdaannya itu sebanyak 3 kali.
Dari Abdullah bin Mas`ud r. a., katanya : Rasulullah bersabda : “Sesiapa mati dalam keadaan ia melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka.” (HR Bukhari dan Muslim)
Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya syafaatku untuk ummatku yang melakukan dosa-dosa besar. (kecuali mereka yang mati dalam keadaan syirik dan tidak bertaubat darinya).

Wednesday, August 10, 2011

MACAMANA NAK DAPAT SIGNAL WIFI DENGAN LEBIH JELAS?

Aku pun tak tau la keberkesanannya.. Tapi mungkin korang bleh cuba.. Kalau menjadi, jangan lupa share ye.. Heheh..~!!

Ikut je langkah2 berikut:

Thursday, April 28, 2011

Kenapa Orang Sibuk Nak Jadi Artis???



Patut la ramai mak bapak sibuk nakkan anak mereka jadik artis.. siap menangis2 guling2 kalau anak mereka terkeluar dari rancangan realiti.. Mungkin ini adalah penyebabnya... Tapi semua artiskah dapat bayaran macam ni? Pikir-pikirkan la ye..

Monday, March 21, 2011

Petua Lanjutkan Usia Lelaki???

Haha.. Tak tau la korang pernah terbaca atau tidak.. Tapi ini la petua yang dikatakan dapat menambah usia seorang lelaki. Ape kaitannye tak pulak aku tau.. Petua ni boleh dibuat kalo berani la.. Kalau rasa nak kena hempuk ngan pompuan yang korang renung tuh.. Hahaha... Sila-sila..

Thursday, December 16, 2010

Undang-undang pemilikan hartanah kita terlonggar di dunia??


Berita dalam Utusan hari ini menyatakan undang-undang pemilikan hartanah di negara kita adalah yang terlonggar di dunia? Pernyataan ini menunjukkan petanda mengapa rakyat kita terutama orang Melayu yang berpendapatan rendah begitu sukar memiliki hartanah sendiri. Patutlah ramai warga asing dengan senang hati membeli tanah dan rumah di negara kita. Tengok je la kat kawasan rumah mewah di The Mines dan Kinrara.. Rata-ratanya dimiliki oleh orang asing dengan harga yang sangat tinggi.. Kita?? Mampu ke??

p/s: orang kita lebih suka menggadai tanah daripada membeli tanah...


Petikan dari Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 16 Dis. – Undang-undang pemilikan hartanah di Malaysia adalah paling longgar di dunia dan keadaan ini menarik kehadiran pelabur asing sehingga menjejaskan peluang rakyat negara ini.

Persaingan itu menyebabkan nilai sektor berkenaan melambung mencecah paras terlalu tinggi dan berada di luar kemampuan mereka, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS), Y. H. Ooi.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Knight Frank, berkata, nisbah permintaan hartanah antara rakyat tempatan dan asing pada tahun ini adalah 70:30 dan berdasarkan perkiraan semasa, jumlah penguasaan rakyat asing akan meningkat tahun hadapan.

Menurutnya, walaupun peningkatan nilai hartanah membantu meningkatkan ekonomi negara tetapi ia juga memberikan impak negatif kepada rakyat sekiranya tiada kawalan.

Ooi mendakwa, tiada sebarang had dikenakan kepada para pelabur asing dari segi pemilikan jumlah aset dan lokasi sekiranya ingin memiliki hartanah di Malaysia.

Beliau menjelaskan beberapa negara seperti Australia dan Singapura mempunyai undang-undang ketat terhadap pemilikan hartanah di kalangan pelabur asing.

“Antaranya had bilangan aset, hanya boleh membeli aset yang sedang atau belum dibina dan pelbagai lagi bagi melindungi kepentingan rakyat tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini sempena Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia 2011 yang akan diadakan pada 18 Januari depan.

Turut hadir bekas Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Mani Usilappan yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif PEPS dan Presiden PEPS, Choy Yue Kwong.

Ooi berkata, faktor persaingan ini menyebabkan nilai hartanah di kawasan bandar melonjak tinggi dan langsung tidak mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan sederhana serta ke bawah.

“Kita tidak mampu menandingi kuasa beli pelabur asing dan akhirnya hanya mampu melihat aset strategik dimiliki orang luar. Sesuatu perlu diambil untuk menilai semula masalah ini,” kata beliau.

Ooi menambah, pelabur asing yang banyak memiliki aset di Malaysia adalah dari Singapura, Hong Kong, Indonesia, Eropah dan rantau Asia Tengah.

Lokasi yang menarik perhatian mereka adalah Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang atas faktor infrastruktur dan kemudahan yang serba lengkap.

Mani pula menjelaskan, sekiranya keadaan itu berterusan, mungkin akan timbul persoalan sama ada industri hartanah tempatan dibina untuk rakyat atau pelabur asing.

Sementara itu, Yue Kwong berkata, nilai hartanah di Asia termasuk Malaysia dijangka terus meningkat pada tahun depan berikutan pertumbuhan ekonominya yang positif meskipun berlaku kemerosotan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Katanya, keadaan ekonomi luar yang tidak menggalakkan akan menyaksikan dana pelaburan khususnya sektor hartanah bakal beralih ke Asia dan Malaysia turut mendapat faedahnya berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata, permintaan tinggi dalam sektor hartanah tempatan akan meningkatkan kadar kecairan pasaran dan nilai hartanah khususnya di Kuala Lumpur.

“Peningkatan nilai hartanah pada tahun depan mungkin tidak setinggi tahun ini yang mencatat peningkatan 30 peratus kerana pertumbuhan ekonomi negara dijangka perlahan,” jelasnya.

Bangunan Pelik Serata Dunia

Bidang arkitektural adalah satu bidang yang membolehkan seni dan arkitektural itu disatukan. Lazimnya kita melihat bangunan di bandaraya dibina dengan ciri-ciri simetri walaupun fizikalnya unik. Kalau di Malaysia kita boleh melihat bangunan KLCC, Menara Rebung dan banyak lagi. Tetapi terdapat juga bangunan yang dibina dengan rekabentuk yang pelik dan menarik perhatian kita. Hari ini saya kongsikan beberapa bangunan pelik yang terdapat di serata dunia.

1. The Urban Cactus, Netherlands.


2. Wocozo's Apartment, Amsterdam.


3. Crooked House, Poland


4. Solar furnace, France


5. Dewan Konsert Walt Disney, California


6. Habitat 67, Canada


7. Tempat menunggu bas di sebuah kompleks membeli belah di Ventura, California


8. Dancing building, Republik Czech

9. Wonderworks, United States


10. The Basket Building, United States



Sumber: Google University

Wednesday, January 27, 2010

KECIL TAPI BERANI

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,

Seronok tengok video ni. Macam mana seekor kucing yang kecil boleh menghalau beruang yang besar dan ganas. Keberanian kucing ini mendapat perhatian penonton di Youtube. Video asal boleh dilihat di sini. Video ini ditonton oleh lebih 33,000 orang walaupun baru 5 hari dimuatnaik di Youtube.

Pengajarannya, walaupun kita kecil namun tak beerti kita tidak boleh mengalahkan musuh yang besar dan kuat. Yang penting keberanian perlu ada. Kata orang, kecil-kecil cili padi...

Wednesday, January 6, 2010

SYAITAN CETUS SIFAT MARAH



Salam 1Malaysia,
Erm... kali ni aku nak share satu artikel yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk kita semua... Teringat lak lagu baru duet Siti & Krisdayanti yang bertajuk Amarah.. Mungkin ramai antara kita yang senang-senang nak marah walaupun tak payah marah pun takpe.. Ada orang pulak buat la macam-macam tapi susah betul nak marah.. Apa yang membuatkan kita marah?
Syaitan cetus sifat marah

MARAH satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan.

Memang benar ada yang mengatakan ‘aku sudah meletup, memang aku tak boleh buat apa-apa.’ Tetapi lebih baik kita belajar menenangkan diri sebelum menghamburkan sebarang bentuk perkataan kepada pihak lain. Selain itu, melihatkan status diri sebagai insan yang berakal membolehkan kita menilai dulu sesuatu perkara sebelum melakukan sebarang tindakan yang bersandarkan desakan emosi semata-mata.

Ketika dalam keadaan marah, manusia sebenarnya dikuasai syaitan yang akhirnya akan berlaku suasana tegang seperti kawan bertengkar sesama kawan atau anak mengherdik ibu bapanya. Allah s.w.t berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu (Allah ) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa."

“Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uh’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun) .” (Surah al-Israk ayat 23).

Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri. Lebih buruk, jika perasaan marah itu gagal ditenteramkan walaupun sebelah pihak mungkin sedaya upaya mententeramkan keadaan. Sebagai umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita beberapa teknik bagi mengawal perasaan marah.

Cara terbaik dengan mengeluarkan kata-kata berhikmah. Kata-kata yang baik terbit daripada hati yang suci dan boleh menjadi pedoman kepada manusia. Dari satu sudut lain, sifat pemarah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai sifat marah akan dizalimi serta dicerobohi haknya. Tetapi perkara tercela adalah sifat marah yang tidak kena pada tempatnya. Justeru, sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak elok ditutur, lebih baik sekiranya segera beristighfar.

Namun, kita sebenarnya tidak boleh menjadikan marah itu sebagai ukuran tepat untuk menggambarkan perasaan tidak puas hati. Kita masih mempunyai masa bagi mengawal percakapan daripada menuturkan kata-kata berunsur herdikan, cacian seterusnya membibitkan perasaan marah yang tiada taranya. Ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga. Kita sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil jalan ‘pintas’ iaitu terus memarahi tanpa menyelidiki pokok pangkalnya. Sudah tentu, tindakan marah kita itu akan menjadi sia-sia serta menjarakkan hubungan persaudaraan.

Walaupun orang yang dimarahi itu melakukan kesilapan, sekurang-kurangnya mereka perlu memberi peluang daripada melemparkan perasaan marah berkenaan. Marah boleh, tetapi jangan menjadi orang yang mempunyai sifat pemarah. Sebenarnya, apa yang terkandung daripada sifat marah itu perasaan benci terutama jika emosi menebal itu gagal dikawal sehingga terhambur perkataan cabar mencabar sehingga sanggup memberi ancaman kecederaan dan bunuh kepada individu lain.

Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya supaya tidak menjadi seorang yang pemarah seperti diriwayatkan Abu Hurairah, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku! Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).

Bagi mengubati penyakit marah ini, Islam mengajar umatnya menahan diri ketika marah dan sabar apabila melawan hawa nafsu yang meluap-luap itu. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah).” (Riwayat al-Tirmidzi) .

Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan syaitan yang dijadikan daripada api. Oleh itu ingatlah api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan pada anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang ‘membara’ akibat marah itu.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api.” (Riwayat Abu Daud). Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga.” (Riwayat al-Bukhari).

Sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan. Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.” (Surah al-Syura ayat 37).

Antara langkah untuk mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang:
  • Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakiti hati itu. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.
  • Jangan menyalahkan orang lain. Beri tumpuan kepada punca sebenar yang mencetuskan kemarahan kerana ia mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri.
  • Perbaiki keadaan selepas kita berada dalam keadaan tenang dan terkawal. Jangan lepaskan kemarahan kepada orang lain semata-mata kerana tidak puas hati dengan individu lain.
  • Dapatkan rehat dan tidur secukupnya selain makan makanan berkhasiat kerana apabila badan letih, ia akan menyebabkan seseorang itu lebih cepat naik marah.
  • Amalkan senaman ringkas selama beberapa minit setiap hari bagi mengurangkan ketegangan.
  • Jadi seorang pendengar yang baik. Sifat orang pemarah adalah dia sangat sukar mendengar pendapat orang lain kerana merasakan tindakan serta pendapatnya mengatasi orang lain.
  • Jauhi amalan yang menjadi punca perkelahian seperti suka merendah-rendahkan, memperlekeh serta mengherdik orang lain lalu digantikan dengan sifat memuliakan orang.
  • Amalkan bacaan A’uzubillah himinasyaitaannirra jiim (Aku berlindung kepada Allah s.w.t daripada syaitan direjam) selain tidak meninggalkan solat kerana di dalamnya terdapat kesan hebat yang boleh menerbitkan perasaan tenang jika diamalkan dengan sepenuh ikhlas.

Wallahu'alam bissawab....

Monday, September 7, 2009

Nuzul Al Quran



Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...