Followers

Thursday, April 7, 2011

AL-FATIHAH - Akhirnya dia pergi...


Setelah beberapa bulan menahan kesakitan, akhirnya pada tanggal 5 April 2011 bersamaan 1 JamadilAwal 1432H, opah kesayanganku telah pergi menyahut panggilan Ilahi.. Sedih dan begitu berat sekali hati untuk melepaskan dia pergi... Kalaulah boleh, terasa ingin meminta pada Tuhan untuk bersamanya untuk seketika waktu lagi. Tetapi janji Tuhan itu tepat, takkan terlepas walau sesaat. 


Genap usianya 70 tahun pada 1 April lalu.. Tahun ini kami hanya mengucapkan selamat hari lahir tanpa sebarang sambutan seperti tahun-tahun sebelumnya. Hanya ucapan biasa yang disambut dengan senyuman oleh opah. Senyuman itulah yang sentiasa kami rindu. Kerana senyuman itu tak pernah lekang dari bibirnya. Biar kesakitan yang ditanggung olehnya tidak dapat kami kongsi, namun senyuman tetap diukir setiap kali kami menanyakan khabarnya.

Sejak penyakitnya menyerang, sejak itu juga kami berusaha untuk mengubatinya. Kian hari opah kian lemah. Adakala opah hanya terbaring sepanjang hari. Namun, opah selalu kata dia tidak sakit. Pernah sekali opah menegur.. "Angah, kenapa ambil cuti.. Opah menyusahkan angah ke?"... Apalah sangat nak dibandingkan cuti itu dengan kesihatan opah. Saat itu, kami rindukan opah yang ceria dan penuh dengan bicara. Adakala opah tidak sedar beberapa hari. Wad HKL jadi rumah kedua opah. Bila berkesempatan menjenguk, opah mesti bertanya.. "Hari ni tak pergi ambil gambar ke? Ambil gambar cantik-cantik.. biar orang suka tengok..." Opah memang sporting.. Sebab tu kami sayang opah!

Dua hari sebelum dia pergi, opah semput teruk. Nafasnya mencungap-cungap.. Kami risau. Apa yang pernah diperkatakan oleh doktor yang merawatnya kini semakin jelas. Wajahnya tampak lesu. Ada sekali ketika memapahnya ke tandas, opah sempat membisik.. "Penatnya opah.. opah dah tak tahan..." Kami cuba untuk menenangkannya. 

4 April, akhirnya Opah dihantar ke Hospital Kajang kerana keadaannya yang sangat kritikal. Malam itu mak menelefon. Opah sesak nafas. Kami terus berdoa agar opah selamat. Saudara mara mula berkumpul di hospital. Akhirnya, pada jam lebih kurang 3.30 pagi.. Opah pergi buat selama-lamanya. Alhamdulillah... opah pergi dengan tenang sekali.. Ketika jenazahnya tiba di rumah, kami menatap wajah opah untuk kesekian kali. Wajahnya begitu tenang.. Bibirnya tetap mengukirkan senyuman. Senyuman yang takkan kami lupakan.

Jenazah opah kami kebumikan di Tanah Perkuburan Bangi (Sg. Tangkas). Doa tanpa putus kami bacakan semoga rohnya aman dan tenang serta ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Kini hanya kenangan yang ditinggalkan untuk kami. Biar jauh dia pergi, segala memori ketika bersama tetap tersemat di dalam hati.





"Berat sebenarnya untuk melepaskan dia pergi.. Kerana dia antara orang yang paling kami sayangi.. Namun kesakitan yang ditanggung tak sanggup untuk diperhati.. Akhirnya kami redha dengan ketentuan Ilahi.. Dia pergi takkan kembali.. Dengan wajah tenang dia meninggalkan kami.. Doa dan airmata kami iringi.. Pemergian ini penawar kekal abadi.."

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...